Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Wanita Ditahan Halang Tugas Penjawat Awam

By 7 Oktober 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Seorang wanita direman dua hari bermula semalam kerana telah mengeluarkan kata-kata kesat apabila ditegur untuk memakai pelitup muka di sebuah gerai di pasar Jalan Othman di Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata wanita berusia 49 tahun itu ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam ketika sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya melakukan pemantauan Op COVID-19 di kawasan berkenaan kira-kira 3.40 petang Isnin.

“Pihak polis telah menegur wanita terbabit dan seorang lagi lelaki di gerai itu supaya memakai pelitup muka dan meminta mengemukakan kad pengenalan mereka namun arahan tidak diendahkan.

“Malah wanita itu mengeluarkan kata-kata tidak menyenangkan dengan nada suara tinggi dan merakamkan video polis menjalankan tugas menggunakan telefon bimbitnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata telefon bimbit wanita terbabit dirampas, dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

“Kedua-dua pemilik gerai masing-masing juga telah dikompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Op COVID-19 iaitu tidak memakai pelitup muka,” katanya.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda