
PUTRAJAYA, 6 Okt (Malaysiaaktif) – Dua pekerja kilang warga Myanmar maut selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah kilang simen di kawasan perindustrian Tasek, di Ipoh semalam.
Kedua-dua lelaki yang maut di lokasi dikenali sebagai Nay Lin dan Maung Maung Win, masing-masing berumur 26 serta 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata semasa kejadian pada kira-kira 12.35, kedua-dua mangsa sedang menjalankan kerja-kerja membuka penahan keselamatan dalam serombong untuk menahan serpihan batu yang jatuh dari bahagian atas.
“Semasa sedang membuka lantai keselamatan, tiba-tiba lantai senget sebelah dan menyebabkan kedua-duanya terjatuh ke tingkat satu seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
— BERNAMA