Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

1,208 Kes Baharu, Tiga Kematian, Tiga Kluster Baharu

By 16 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Kes positif COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan angka empat digit dengan 1,208 lagi kes baharu direkodkan, selain tiga lagi kematian dicatat dan tiga kluster baharu dikenal pasti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, negeri dan wilayah persekutuan di Lembah Klang menyumbang kes positif tertinggi iaitu 661 kes manakala 381 kes direkodkan di Sabah.

“Daripada 1,208 kes baharu pada hari ini, Kuala Lumpur melaporkan enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Kesemua kes import tersebut melibatkan bukan warganegara yang tiba dari negara Indonesia, Bangladesh dan Nepal (masing-masing satu kes) dan India sebanyak tiga kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia turut mencatatkan sebanyak 1,013 kes pulih hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 34,785 kes atau 73.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 47,417 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah  sebanyak 12,323 kes.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 pula adalah sebanyak 309 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini juga, terdapat 104 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 42 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Dr Noor Hisham.

Tiga kluster yang dikenal pasti hari ini ialah Kluster Plaza di Kota Kinabalu; Kluster Jalan Kalabakan, Tawau, Sabah dan Kluster Jeri, di Kota Tinggi, Mersing dan Muar, Johor.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda