Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

MKN dan JBS Promosi Norma Baharu Kepada Penghantar Makanan

By 16 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 16 Nov (Malaysiaaktif) – Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan mempromosi amalan norma baharu dalam kalangan penghantar makanan melalui Program Khidmat Komuniti Rakan Muda: Penghantar Makanan Norma Baharu.

Menurut Pengarah Keselamatan Negeri MKN Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah, program yang dianjurkan dengan kerjasama JBS Labuan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penerangan Labuan itu adalah untuk menggalakkan norma baharu dalam kalangan komuniti secara bersasar.

“Pada hari ini kita menyasarkan untuk mengagihkan 500 kita penjagaan kendiri kepada penghantar makanan yang ada di sekitar Labuan, dalam kit itu mengandungi risalah mengenai pembudayaan norma baharu, sarung tangan, pelitup muka dan pembersih tangan.

Kartika (dua dari kanan) menyerahkan kit penjagaan kendiri kepada salah seorang penghantar makanan, di sini semalam.

Kartika (dua dari kanan) menyerahkan kit penjagaan kendiri kepada salah seorang penghantar makanan, di sini semalam.

“Kit ini juga sebagai simbolik kepada keperluan para penghantar makanan ini agar menerapkan elemen-elemen penjagaan kendiri semasa memberi perkhidmatan untuk mengelak risiko jangkitan COVID-19,” katanya semasa ditemui pada program itu, di sini semalam.

Menurut Pengarah JBS Labuan Mahanum Fauzi, program itu merupakan salah satu program khidmat komuniti Rakan Muda dalam usaha membudayakan norma baharu kepada golongan belia.

“Kita ingin menerapkan kepada golongan belia dan rakan muda yang berumur 15 hingga 25 tahun dalam pembudayaan norma baharu kerana komuniti merupakan barisan hadapan yang akan membantu pihak kerajaan membendung penularan COVID-19.

Mahanum (tengah), Kartika (dua dari kanan) dan Farid (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama buku Pembudayaan Norma Baharu.

Mahanum (tengah), Kartika (dua dari kanan) dan Farid (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama buku Pembudayaan Norma Baharu.

“Kita sasarkan penghantar makanan juga kerana kebanyakan mereka adalah daripada golongan belia dan selepas ini kita akan kembangkan kepada kluster-kluster lain yang akan dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad, berkata pihaknya sentiasa memberi nasihat kepada penghantar – penghantar makanan agar mematuhi undang-undang semasa berada di atas jalan raya.

“Tiada saman dikeluarkan setakat ini kerana mereka sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB selain tidak mencatatkan sebarang kes kemalangan sebelum ini,” jelasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda