Skip to main content
Berita TimurPahang

82 Mangsa Ribut di Indera Mahkota 2 Terima Bantuan

By 1 November 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Fazli Zulkifli/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Ribut kencang yang melanda sekitar Kuantan kelmarin telah mengakibatkan seramai 82 mangsa ribut di perumahan PASDEC Makmur Indera Mahkota 2 di sini, mengalami kerosakan rumah yang teruk.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah menjunjung kasih Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah hadir menyantuni mangsa ribut dengan melawat dan menghulurkan bantuan kepada mereka.

“Antara agensi kerajaan yang telah menyalurkan bantuan kepada mangsa ribut adalah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan serta beberapa pihak lain yang tampil menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika turun padang menyantuni mangsa ribut kelmarin.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kerjasama yang telah diberikan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasdec Makmur Indera Mahkota 2 telah meringankan lagi proses pengagihan bantuan kepada setiap mangsa.

“Diharap semua mangsa dapat bersabar dan reda di atas dugaan yang berlaku ini,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa ribut, Abdul Mubin Abdul Samad, 62, berkata hampir keseluruhan bumbung rumahnya telah diterbangkan angin kencang yang berlaku kira-kira pada jam 8.00 malam kelmarin.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku begitu pantas sehingga menyebabkan banyak rumah di kawasan perumahan ini mengalami kerosakan yang teruk.

-SH

Tinggalkan komen anda