
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Empat individu termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di Sungai Gong berhampiran kawasan perindustrian Taman Velox, direman selama tujuh hari sehingga 17 November ini.
Perintah reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Hafizah Rajuni, ke atas semua suspek berusia 33 hingga 43 tahun.
Kesemua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada jam 8.30 pagi selepas ditahan sekitar tengah malam hingga awal pagi tadi.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata tangkapan empat suspek berkenaan bermula dari tengah malam hingga ke awal pagi tadi di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya.
“Siasatan awal mendapati wanita India Muslim adalah penama yang didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyewa premis di No.32 Jalan Velox 2, Rawang.
“Manakala lelaki Cina dan pekerjanya seorang lelaki Bangladesh tersebut menumpang stok bahan bahan kimia di premis sewaan tersebut.
“Dipercayai terdapat aktiviti membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
-NAZ