Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

LRA Sungai Linggi Mula Beroperasi

By 10 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Syarikat Air Negeri Sembilan

PORT DICKSON, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) mengumumkan pengoperasian semula Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi bermula semalam.

Hampir lima hari LRA Sungai Linggi tidak dapat beroperasi sepenuhnya untuk membekalkan air terawat kepada lebih 45 ribu pengguna di Port Dickson dan Seremban berikutan kejadian tebing runtuh di Sungai Linggi.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismail, berkata pihaknya telah mula menerima aliran air sungai yang memasuki muka sauk untuk loji menjalankan proses pengepaman air mentah dan seterusnya membekalkan air terawat ke premis pengguna di Daerah Seremban terlebih dahulu sehingga loji mendapat bekalan air mentah yang mencukupi untuk menjalankan operasi pengepaman ke seluruh Port Dickson.

“Kami akan memastikan seluruh kawasan yang terjejas di Port Dickson dan Seremban akan mendapat bekalan air terawat selewat-lewatnya hari Rabu (11 November 2020) secara berperingkat bergantung kepada kerja ditapak oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“SAINS juga akan terus memantau kawasan yang masih tidak menerima bekalan air dan mengalami tekanan air rendah untuk diagihkan melalui tangki statik dan lori tangki SAINS,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, SAINS berterima kasih atas kerjasama berterusan daripada daripada pihak operator air lain seperti Pengurusan Air Selangor (AiS), Ranhill Syarikat Air Jor (SAJ), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Pengurusan Air Pahang (PAIP), Lembaga Air Perak (LAP) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) yang telah menghantar bantuan lori tangki dan kakitangan dalam membantu SAINS dalam kerja-kerja pengagihan bekalan air ke kawasan terjejas sehingga pulih.

“Terima kasih juga diucapkan kepada semua pengguna yang terjejas kerana faham akan situasi yang dihadapi sepanjang krisis air ini berlaku.

Sehingga pukul 1.00 tengah hari ini, hampir 99% kawasan di Seremban dan 90% kawasan di Port Dickson telah mula menerima bekalan air terawat SAINS.

Pihak SAINS akan terus memastikan maklumat terkini dapat disampaikan melalui laman web rasmi www.sainswater.com atau di Facebook Pusat Khidmat Pelanggan – SAINS serta aplikasi iSAINS. Para pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi SAINS di talian bebas tol 1-800-88-6982.

-AK

Tinggalkan komen anda