Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sungai Selangor Tercemar, Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual di Lembah Klang

By 10 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan lapan wilayah akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran bau di Sungai Selangor.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor hari ini.

“Air Selangor ingin memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada jam 12.45 tengahari.

“Sehingga jam 2:30 petang ini, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau panjang pada
tahap lapan TON dan LRA SSP1, 2 dan 3 pula pada tahap empat TON,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, henti tugas keempat-empat loji ini dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun.

“Ia merangkumi 1,279 kawasan di Wilayah
Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mana bekalan air akan ditutup pada jam 6.00 petang.

“Usaha untuk mencairkan bahan pelarut dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang
terdapat di dalam Sungai Selangor telah dilakukan dengan melepaskan air dari
Empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari dan empangsan Sungai
Tinggi sebanyak 500 juta liter sehari.

“LUAS telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan
kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama,” katanya.

Katanya, maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

-NAZ

Tinggalkan komen anda