Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Salurkan Aduan Halang Kebanjiran PATI

By 13 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Salina Hasan @ Abd Rashid / Rizal Jasmi (Alor Gajah)

MELAKA, 13 Nov (Malaysiaaktif) – Antara faktor kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini adalah sikap rakyat Malaysia yang suka menolong orang dalam kesusahan tanpa menyelidik terlebih dahulu samada individu berkenaan mempunyai permit yang sah atau tidak.

Menurut Pegawai Imigresen Negeri Melaka, Mohd Amin Wagiman, sikap rakyat Malaysia yang baik dan suka menolong selalunya membawa kesusahan kepada individu itu sendiri serta komuniti sekitarnya.

Mohd Amin Wagiman (berdiri) sedang menyampaikan taklimat.

Mohd Amin Wagiman (berdiri) sedang menyampaikan taklimat.

“Tidak salah untuk membantu, namun sebagai warganegara yang bertanggungjawab kita perlu semak dulu kesahihan permit yang ditunjukkan. Sebagai contoh, ada seorang warga asing datang kedai makan untuk meminta kerja dan menunjukkan permit beliau. Tuan kedai pula terus mengambil beliau bekerja tanpa menyemak terlebih dahulu ketulenan permit berkenaan. Jika sabit kesalahan, tuan kedai tersebut boleh dikenakan hukuman yang tertakluk dalam Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” ujar beliau ketika menyampaikan taklimat ringkas di Kampung Telok Gong, baru-baru ini.

Mohd Amin Wagiman turut menambah, sekiranya orang ramai yang mempunyai maklumat diharap dapat menyalurkan aduan yang tepat kepada Jabatan Imigresen Negeri Melaka bagi sama-sama membendung dan mengawal kemasukan warga asing tanpa izin ke negara ini.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Telok Gong, Azman Hasan menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah yang memilih Kampung Telok Gong sebagai lokasi taklimat ringkas bersama Jabatan Imigresen Negeri Melaka.

“Maklumat yang disampaikan pada hari ini akan saya uar-uarkan kepada penduduk setempat agar lebih peka terhadap PATI yang menceroboh masuk ke negara kita. Melindungi PATI juga adalah satu kesalahan yang boleh membawa hukuman berat,” ujarnya.

-KN

Tinggalkan komen anda