Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Data Hari Ini untuk Keselesaan Masa Hadapan

By 14 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Musliha Yusof/Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Negeri Johor (JaPen Johor) telah berjaya melengkapkan butiran mereka pada laman web Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (BPPM) 2020 secara dalam talian e-Census, bagi membantu kerajaan melaksanakan pembangunan negara.

Menurut Juruaudio Visual JaPen Johor Abdullah Ali, kesedaran untuk memberikan kerjasama dalam menjawab soal selidik BPPM 2020 amat penting sejajar dengan peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (disemak 1969).

Kaedah e-Census memudahkan semua pihak - Abdullah

Kaedah e-Census memudahkan semua pihak – Abdullah

e-Census yang dilaksanakan pada tahun ini mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat serta memudahkan urusan para petugas banci yang melaksanakan urusan bancian dalam keadaan semasa negara yang masih berdepan dengan ancaman COVID-19.

“Tahun ini kita berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19, dan saya percaya kaedah e-Census amat sesuai dilaksanakan selain ianya memudahkan semua pihak yang secara tidak langsung dapat menjimatkan kos, tenaga dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pada sesi penyerahan sijil penghargaan, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, pada zaman yang serba canggih ini, penggunaan teknologi yang semakin berkembang pesat mampu mengurangkan lagi risiko penularan pandemik ini.

Emylia berpendapat bahawa platform e-Cencus ini amat praktikal dan sesuai dengan kecanggihan teknologi pada masa kini.

Emylia berpendapat bahawa platform e-Cencus ini amat praktikal dan sesuai dengan kecanggihan teknologi pada masa kini.

Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara Emylia Shahida Mohd Shah, 22, yang ditemui berpendapat usaha kerajaan melakukan banci secara talian merupakan langkah terbaik yang diambil bagi melindungi rakyat daripada terdedah dengan wabak.

“Kaedah bancian dengan menggunakan platform e-Cencus ini amat praktikal dalam mengatasi kekangan yang dihadapi pengguna dengan memudahkan setiap responden untuk melalui proses pembancian sesuai dengan kecanggihan teknologi yang ada malah turut menjimatkan masa dalam menyempurnakan proses pembancian,” ujarnya.

“Masyarakat bertanggungjawab untuk memberi maklumat yang tepat kerana maklumat yang dibekalkan melalui Banci 2020 akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa depan yang bakal mengemudi negara ke satu tahap yang lebih baik dan membantu menyumbang ke arah pembangunan sosio ekonomi negara dalam membentuk frasarana yang lebih baik,” katanya.

Sijil Penghargaan Pembancian e-Census yang diterima Jabatan Penerangan Negeri Johor.

Sijil Penghargaan Pembancian e-Census yang diterima Jabatan Penerangan Negeri Johor.

Pada sesi perjumpaan tersebut, Pengarah Perangkaan Malaysia Negeri Johor Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri, telah menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Johor Sabarudin Yeop Hamza, bagi menzahirkan penghargaan kepada seluruh kakitangan jabatan ini yang telah selesai mengisi e-Cencus.

-NI-

Tinggalkan komen anda