
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, kini ditukarkan ke Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalu Lintas) dan diganti Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari sebagai Ketua Polis daerah itu berkuat kuasa hari ini.
Mohd Iqbal berkata beliau amat berterima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan, atas tunjuk ajar dan bimbingan yang telah diberikan sepanjang beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Langkawi.
“Saya bersyukur kerana segala usaha selama hampir setahun setengah dengan diiringi solat hajat pada setiap minggu dan pasti dengan izin Allah, syukur kertas kerja untuk penambahbaikan perjawatan lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi telah berjaya.
“Kini IPD Langkawi telah berjaya dinaik taraf ke Kategori A standing dengan IPD Kota Setar dan Kuala Muda,” katanya sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Daerah Langkawi, di Dewan Besar Ibu Pejabat Polis Langkawi, di sini hari ini.
Shariman Ashari, dalam ucapannya berkata beliau akan menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Langkawi sebaik mungkin dan akan berusaha meningkatkan mutu penugasaan dan meneruskan usaha keras yang telah dilakukan oleh Mohd Iqbal selama ini.
“Saya akan memberi tumpuan kepada empat fokus utama buat ketika ini iaitu kebajikan anggota, integriti dan disiplin meningkatkan risikan dan operasi siasatan terutamanya kegiatan dadah dan penyeludupan dan meningkatkan program bersama masyarakat selari dengan tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” ujarnya yang ditukarkan dari Cawangan Khas Bukit Aman.
Dalam pada itu, Datuk Hasanuddin mengatakan pucuk pimpinan telah menaruh keyakinan dan kepercayaan yang tinggi kepada ACP Shariman Ashari dengan memilih beliau sebagai Ketua Polis Daerah Langkawi yang baharu.
“Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang ada pada ACP Shariman beliau akan membawa Polis Daerah Langkawi ke arah yang lebih cemerlang.
“Syabas dan tahniah kerana Mohd Iqbal telah membuktikan beliau mampu menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang sebagai Ketua Polis Daerah Langkawi, pemimpin muda yang berkaliber seperti Mohd Iqbal telah membawa banyak perubahan dalam pentadbiran daerah ini dalam memastikan masyarakat Pulau Langkawi sentiasa selamat, aman dan sejahtera,” katanya.
-SH