Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

IOW Halang Penyebaran Maklumat Palsu

By 16 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Khairuzzaki Ahmad/Muhammad Lukmannul Hakim Mohd Saleh (Johor)

BATU PAHAT, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Penyampaian maklumat melalui program Info on Wheels (IoW) mampu memberi maklumat dan penerangan kepada masyarakat setempat berhubung isu semasa di peringkat negeri dan nasional dalam usaha mengekang penyebaran berita tidak benar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja Norashidah Ramli, usaha dalam menghebahkan informasi dengan betul dan jelas menggunakan platform sebegini boleh mengurangkan penyebaran berita palsu yang semakin berleluasa di media sosial yang mana kaedah ini secara tidak langsung mampu membina persepsi yang baik terhadap kerajaan serta memberi keyakinan terhadap falsafah, dasar dan wawasan negara.

“IOW mampu memberi kesan positif kepada masyarakat dalam mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih khususnya di kawasan kampung sekitar pekan kecil ini.

“Saya amat berharap agar masyarakat dapat bersama-sama berganding bahu dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 dan sentiasa mamatuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika menyempurnakan Program IoW Peringkat Daerah Batu Pahat di Kompleks Penghulu Mukim Sri Gading Batu Pahat, di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja Norashidah Ramli (tudung merah) berharap agar masyarakat sendiri menjadi frontliner untuk mengekang penyebaran COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja Norashidah Ramli (tudung merah) berharap  masyarakat sendiri dapat menjadi ‘frontliner’ untuk mengekang penyebaran wabak COVID-19.

Menurut Norashidah, peningkatan kes baharu di daerah ini amat membimbangkan.

“Saya menyeru agar masyarakat sendiri menjadi barisan hadapan bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19 dengan sentiasa mengamalkan norma baharu yang merupakan perkara baharu kepada masyarakat masa kini namun bakal menjadi amalan biasa bagi masyarakat pada masa depan.

“Pada masa ini kita perlu menjaga diri, keluarga dan komuniti dengan mematuhi SOP yang secara tidak langsung dapat membantu kerajaan dalam membendung penyebaran wabak ini,” ujarnya.

Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Johor Sabarudin Yeop Hamzah, berkata hebahan Skuad IoW daerah Batu Pahat memberi fokus kepada SOP amalan pembudayaan norma baharu, langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19, wabak denggi, Belanjawan 2021 dan Banci Penduduk 2021.

“Pihak kami telah mengambil langkah sebagaimana yang telah disyorkan oleh KKM dalam memberi pencerahan tentang wabak ini yang jelas membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyalurkan maklumat yang sahih ke peringkat akar umbi khususnya di mukim ini yang telah menjadi zon Merah dan berisiko,” katanya.

Sabarudin berkata aktiviti IOW ini akan diperluaskan ke seluruh kawasan di daerah ini bagi memberi penjelasan yang terperinci berkaitan isu-isu semasa dan juga inisiatif-inisiatif kerajaan.

-NI-

Tinggalkan komen anda