Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Skuad Ambik Cakne Ketengah Bantu Ringankan Beban Masyarakat

By 16 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Zulkifli Othman (Dungun)

DUNGUN, 16 Dis (Malaysiaaktif) – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melancarkan Skuad Ambik Cakne Ketengah, baru-baru ini di Bilik Gerakan Banjir Wilayah Ketengah, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Bukit Besi di sini bagi meringankan beban mereka yang terlibat bancana banjir.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Senator Datuk Razali Idris, yang menyampaikan sumbangan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan dan juga bantuan di bawah program keusahawanan turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat membantu mangsa banjir di wilayah ini.

“Diharapkan dengan tertubuhnya Skuad Ambik Cakne ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar dalam wilayah ini.

“Penglibatan NGO merupakan inisiatif pihak Ketengah dalam mendapatkan sumbangan tenaga ataupun apa jua keperluan ketika berhadapan dengan bencana banjir terutama di kawasan Ketengah yang merupakan kawasan pedalaman dan untuk rekod, bilik gerakan banjir telah dibuka pada 27 November lalu ekoran bencana banjir di Kampung Teladas, Kemaman,” katanya ketika menyampaikan sumbangan, di sini baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Senator Datuk Razali Idris bergambar kenang-kenangan sempena Pelancaran Skuad Ambik Cakne Ketengah dan penyampaian sumbangan bantuan kepada gologan yang kurang berkemampuan dan juga bantuan di bawah program keusahawanan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Senator Datuk Razali Idris bergambar kenang-kenangan sempena Pelancaran Skuad Ambik Cakne Ketengah dan penyampaian sumbangan bantuan kepada gologan yang kurang berkemampuan dan juga bantuan di bawah program keusahawanan.

Menurut Razali, sehingga kini sebanyak 316 kit bantuan telah diedarkan bagi mangsa banjir di Hulu Dungun dan Kemaman yang melibatkan 1,512 orang mangsa daripada 372 buah keluarga.

“Tindakan bantuan segera dan tepat pada waktunya oleh pengurusan Ketengah ini seharusnya diberi pujian,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Ketengah Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, berkata bagi menubuhkan Skuad Ambik Cakne Ketengah seramai 74 orang dibentuk melibatkan pelbagai pihak antaranya agensi kerajaan dan juga NGO.

Wan Fatimah Wan Ghah antara penerima sumbangan sempena Program Pengembangan Produk Usahawan.

Wan Fatimah Wan Ghah antara penerima sumbangan sempena Program Pengembangan Produk Usahawan.

“Bagi sumbangan bantuan bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Ketengah melalui Ketengah Holding Sdn. Bhd (KHSB) akan membantu sembilan keluarga daripada golongan memerlukan yang melibatkan bantuan baikpulih rumah dan bantuan mangsa bencana melibatkan kos sebanyak RM15, 100.

“Selain itu, sembilan bantuan keusahawanan diberikan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM188,476, bantuan yang disampaikan merangkumi Projek Pertanian Berkelompok Kampung Seberang Tayur Hilir, Kemaman melibatkan 29 orang peserta yang menerima bantuan sebanyak 116 beg baja dan 29 botol racun bernilai RM19,212,” katanya.

Turut diadakan penyerahan sumbangan untuk Program Pengembangan Produk Usahawan Tahun 2020 yang melibatkan empat orang usahawan yang menerima sumbangan berbentuk peralatan sokongan antaranya peti sejuk beku, peti sejuk dingin, mesin pengadun dan oven bernilai RM 9,420 dan penyerahan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) yang merupakan salah satu program di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang melibatkan empat orang usahawan dengan kos bantuan berjumlah RM159,844.

Turut hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi Roslee Daud dan Penyelaras DUN Bukit Besi Ghazali Sulaiman.

-ii-

Tinggalkan komen anda