Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Lulus RM800,000 Atasi Hakisan Ombak

By 7 Disember 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

KUALA NERUS, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meluluskan peruntukan segera sebanyak RM800,000 bagi membina benteng penahan ombak di pantai Pengkalan Maras dekat sini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peruntukan kecemasan itu diluluskan bagi menyelamatkan kediaman dan tanah perkuburan berhampiran pantai yang hampir lenyap akibat hakisan disebabkan ombak besar yang melanda sekarang.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man (depan, tiga dari kiri) melawat kawasan hakisan ombak di pantai Pengkalan Maras, Kuala Nerus.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man (depan, tiga dari kiri) melawat kawasan hakisan ombak di pantai Pengkalan Maras, Kuala Nerus.

“Kerja membina benteng penahan ombak sepanjang 200 meter itu akan dimulakan pada minggu depan dan dijangka siap dalam tempoh enam minggu.

“Kementerian menerima aduan mengenai hakisan teruk yang melanda pantai Kampung Pengkalan Maras dan tindakan segera diambil bagi mengatasi masalah ini dan berharap ianya dapat mengurangkan kebimbangan yang dihadapi oleh penduduk kampung,” katanya kepada media selepas melawat kawasan hakisan ombak di Pengkalan Maras semalam.

Kesan hakisan yang serius di Pengkalan Maras, Kuala Nerus.

Kesan hakisan yang serius di Pengkalan Maras, Kuala Nerus.

Kawasan pantai Pengkalan Maras dan beberapa kampung sekitar menghadapi masalah hakisan hampir sepuluh tahun lalu dan keadaan masa kini lebih ketara kerana hakisan semakin hampir dengan jalan raya dan kediaman penduduk.

Beliau berkata, kementeriannya juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM90 juta bagi cadangan mengatasi masalah hakisan di kawasan Pengkalan Maras dan beberapa kampung sekitar.

Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) melihat sebuah kediaman penduduk yang runtuh akibat hakisan ombak di Pengkalan Maras, Kuala Nerus.

Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) melihat sebuah kediaman penduduk yang runtuh akibat hakisan ombak di Pengkalan Maras, Kuala Nerus.

“Peruntukan disalurkan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu bagi mengatasi masalah hakisan ombak yang serius membabitkan kawasan Tok Jembal, Pantai Mengabang Telipot dan Pengkalan Maras.

“Kerajaan sedang membuat kajian secara menyeluruh mengenai masalah hakisan pantai di beberapa kawasan seluruh Terengganu bagi membolehkan penyelesaian secara holistik diambil,” katanya.

Tuan Ibrahim menjelaskan, kajian ini memerlukan sedikit masa bagi membolehkan projek-projek yang dijalankan seperti pembinaan benteng pemecah dan penahan ombak tidak memberi kesan kepada kawasan lain terutama kawasan-kawasan yang berdekatan.

Kediaman penduduk kampung runtuh akibat hakisan ombak di Pengkalan Maras, Kuala Nerus.

Kediaman penduduk kampung runtuh akibat hakisan ombak di Pengkalan Maras, Kuala Nerus.

“Pihak kami telah mengenalpasti kawasan lain yang sedang menghadapi masalah hakisan pantai terutama di Terengganu dan Kelantan.

“Kementerian akan dan sedang membuat kajian menyeluruh bagi mengatasi masalah ini dan berharap permasalahan ini dapat diatasi dengan segera,” katanya.

-ii-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda