
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Pandemik COVID-19 telah banyak merubah kehidupan masyarakat terutamanya dengan pengamalan norma baharu iaitu memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan amalan kebersihan diri yang perlu dijadikan budaya dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Bagi pekerja swasta Nurul Adha, 33, sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab sepatutnya menjadi kewajipan untuk mematuhi saranan dan nasihat yang sering ditekankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain menjadikannya kebiasaan baharu dalam kehidupan harian.
“Kita perlu mengamalkan 3W, iaitu kerap mencuci (Wash) tangan dengan sabun, memakai (Wear) pelitup muka di tempat awam yang sesak serta mematuhi amaran (Warn) dari KKM,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Berkongsi nada yang sama, seorang peniaga tempatan Madihah Amran, 37, berharap dengan amalan norma baharu ini dapat mengurangkan bilangan kes daripada terus menular.
“Sama-sama kita amalkan amalan yang baik ini supaya dapat menyumbang kepada pengurangan kes COVID-19 dan menjadi contoh kepada masyarakat lain atau bangsa asing,” katanya.
Sementara itu, pekerja syarikat swasta Ummi Kalsom Md Akher, 37, berharap agar masyarakat terus mengamalkan amalan norma baharu meskipun berada dalam zon hijau.
“Kita perlu melatih diri kita untuk memastikan semua ahli keluarga dan masyarakat kekal selamat, peranan kita jaga kita amatlah penting apabila timbul kes baharu yang boleh menular dengan cepat ke dalam sesebuah komuniti itu sendiri.

Ummi Kalsom Md Akher, pekerja swasta, 34, berkata pengamalan norma baharu bantu pulihkan ekonomi negara.
“Penekanan mengenai pematuhan SOP juga perlu diteruskan oleh semua pihak, sekiranya semua rakyat bekerjasama mengamalkan budaya baharu ini, secara tidak langsung kita dapat membantu pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak ini,” katanya.
Masyarakat diingatkan supaya tidak terus leka dan sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan kerana kes baharu harian COVID-19 di Malaysia masih kekal empat digit, dan bermula hari ini kerajaan telah membenarkan rentas negeri serta daerah di seluruh negara kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
-ii-