Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Banjir: Telco Sedia Pelan Pemulihan Bencana Elak Gangguan Perkhidmatan

By 7 Januari 2021Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) melaksanakan pelan pemulihan bencana untuk mengelakkan gangguan perkhidmatan yang berpanjangan di kawasan terjejas banjir bagi memastikan perkhidmatan yang stabil, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata ini kerana terdapat kawasan yang mengalami gangguan perkhidmatan ekoran bekalan elektrik terputus di menara komunikasi.

Antara langkah diambil termasuk menempatkan generator di platform yang dinaikkan, menggunakan genset sementara atau kekal, menaik taraf bateri sandaran serta menyediakan stesen pemancar pangkalan (base transceiver station) mudah alih sementara di pusat pemindahan, katanya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dan berwaspada dengan perkembangan terkini. Jimatkan penggunaan peralatan komunikasi sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik di kawasan anda dan hanya digunakan untuk urusan penting seperti membuat panggilan kecemasan,” katanya.

MCMC turut meminta orang ramai supaya menghubungi syarikat telekomunikasi yang terlibat sekiranya terdapat sebarang gangguan perkhidmatan di kawasan mereka bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dilaksanakan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda