Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Nilai Dagangan Agrikomoditi Meningkat kepada RM169.2 Bilion – Mohd Khairuddin

By 7 Januari 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

PUTRAJAYA, 7 Jan (Malaysiaaktif) – Nilai dagangan sektor agrikomoditi bagi 11 bulan pertama 2020 meningkat sebanyak 10.6 peratus kepada RM169.2 bilion berbanding RM153 bilion pada tahun sebelumnya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata bagi tempoh sehingga November lepas, pendapatan eksport produk agrikomoditi mencecah RM133.2 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara, sekali gus menunjukkan perkembangan positif sepanjang Jan-Nov, 2020.

“Nilai ini meningkat sebanyak 13.6 peratus berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama pada 2019.

“Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan harga agrikomoditi utama iaitu harga purata minyak sawit mentah (MSM) serta peningkatan ketara permintaan produk-produk berasaskan getah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, produk berasaskan sawit yang juga penyumbang terbesar sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, telah mencatat peningkatan sebanyak 4.8 peratus kepada RM64.8 bilion bagi tempoh tersebut.

Bagaimanapun katanya, kuantiti eksport produk berasaskan sawit susut sebanyak 10.7 peratus kepada 23.9 juta tan manakala pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada pengeluaran eksport minyak sawit di Malaysia dan negara pengeluar lainnya.

“Pengecualian 100 peratus duti eksport bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun tahun lepas telah mendorong permintaan dunia ke atas minyak sawit dan produk-produknya.

“Selain itu, kesan pengurangan duti import sebanyak lima peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA) mulai 1 Januari 2020, dapat merangsang kembali eksport minyak sawit Malaysia ke India,” katanya.

Menyentuh prestasi produk getah, Mohd Khairuddin berkata komoditi itu menyumbang sebanyak 32 peratus kepada keseluruhan eksport barangan agrikomoditi dengan nilainya meningkat sebanyak 50.5 peratus kepada RM42.6 bilion bagi tempoh sama.

Ini didorong oleh nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang telah merekodkan kenaikan ketara sebanyak 92.4 peratus kepada RM30.6 bilion berbanding RM15.9 bilion bagi tempoh sama 2019.

Kuantiti eksport sarung tangan getah juga meningkat 28 peratus kepada 914,000 tan berbanding 714,000 tan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya, katanya.

Menurutnya, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 14.9 peratus kepada eksport barangan komoditi namun nilai eksportnya berkurangan sebanyak 3.3 peratus kepada RM19.8 bilion.

“Eksport produk koko turut mencatatkan penurunan kepada RM5.6 bilion iaitu pengurangan sebanyak enam peratus berbanding tahun sebelumnya. Senario itu turut membabitkan produk lada yang susut 18.5 peratus kepada RM109 juta berbanding 2019,” katanya.

Antara pasaran utama eksport produk agrikomoditi negara ialah Amerika Syarikat (AS) yang meningkat sebanyak 46.9 peratus kepada RM21.8 bilion dengan sarung tangan getah mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 73.6 peratus kepada RM10.2 bilion.

Eksport produk agrikomoditi ke China pula meningkat sebanyak 18.1 peratus kepada RM18.3 bilion dengan nilai dan kuantiti eksport minyak sawit mencatat kenaikan masing-masing sebanyak 49.2 peratus dan 17.8 peratus kepada RM6.4 bilion dan 2.4 juta tan, kata beliau.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda