Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ahli Parlimen, ADUN akan Terima Vaksin COVID-19 Fasa Pertama

By 16 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menjadi antara penerima vaksin COVID-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memandangkan Ahli Parlimen dan ADUN biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi.

“Oleh sebab bentuk kerja mereka begitu rupa maka, kita setuju Ahli Parlimen dan ADUN tak kira pihak mana, akan diberi vaksin dalam fasa pertama untuk mereka menjalankan tugas secara lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini. Turut serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Bersama JKJAV.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa akan bermula pada 26 Februari ini dan Perdana Menteri akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Muhyiddin berkata beliau telah meminta Dr Adham dan Khairy untuk berbincang dengan pemimpin parti politik bagi mendapatkan persetujuan mereka dan memahami keperluan menerima vaksinasi COVID-19 berkenaan.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda