Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Umum mengetahui bahawa aplikasi MySejahtera telah dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.
Rata-rata penduduk di daerah ini telah mendaftar aplikasi berkenaan dan menunjukkan maklum balas yang positif dengan inisiatif ini.
Menurut Siti Nor safiah Muhamad, 28, seorang guru KAFA di Kerteh, penggunaan aplikasi tersebut bukan sahaja mudah bahkan banyak membantu bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan perkembangan semasa penularan virus COVID-19.
“Dengan hanya mengimbas kod yang disediakan oleh premis mahupun kedai ia begitu mudah tanpa perlu memegang pen yang telah digunakan oleh orang lain yang menulis nama pada buku rekod yang disediakan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Bagi seorang warga emas,Teo Wai Hong, 64, dari Jalan Jakar, aplikasi MySejahtera adalah perkara baru bagi dirinya dan dia meminta tunjuk ajar daripada anak dan cucunya mengenai cara penggunaan aplikasi tersebut.
“Sekarang saya sudah biasa dan selesa menggunakan aplikasi MySejahtera walau di mana tempat saya pergi,” ujarnya.
Bagi Nor Maisarah Mohd Sallahuddin, 28, guru Tadika KEMAS di Meraga Beris, aplikasi MySejahtera sangat berguna bagi mengenalpasti rekod perjalanan yang lalu bagi tujuan pengesanan kontak.
“Selain itu, ia juga amat berguna kepada peniaga bagi mengesan pengunjung-pengunjung yang mengunjungi premis mereka sekiranya tempat mereka dikesan terdapat kunjungan daripada mereka yang telah dikenalpasti sebagai positif COVID-19,” katanya.
-ii-