Laporan/foto: Amirul Azim Othman (Melaka)
MELAKA, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan beberapa lagi sektor perniagaan terutama yang melibatkan perniagaan mikro beroperasi dengan ‘Prosedur Operasi Standard’ (SOP) yang ketat, antaranya kedai gunting rambut/salun yang kini dibenarkan beroperasi sehingga pukul 10.00 malam berkuatkuasa 5 Februari lalu.
Pengusaha kedai gunting rambut, Amarr Aizat, 32, melahirkan kesyukurannya kerana umpama mendapat ‘talian hayat’ setelah kerajaan mengumumkan kebenaran untuk pembukaan kedai gunting rambut.
“Saya hampir gulung tikar kerana perkhidmatan gunting rambut tidak dibenarkan beroperasi susulan pengumuman mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), walaupun tidak dibenarkan untuk beroperasi, sewa bulanan kedainya yang terletak di Bukit Katil Damai 2, Ayer Keroh, Melaka tetap perlu dilangsaikan setiap bulan,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pelanggan Orang Kurang Upaya (OKU) Badrul Hisham, 34, turut menzahirkan rasa lega dengan pembukaan perniagaan perkhidmatan gunting rambut kerana berpendapat bahawa sektor perkhidmatan gunting rambut adalah penting.
“Bagi saya sektor perniagaan ini perlu dibuka kerana ramai sudah tidak selesa dengan rambut yang panjang dan jambang yang bersarat ini amat tidak selesa bagi yang menjaga kekemasan diri,” ujarnya.
Perkhidmatan yang dibenarkan adalah gunting rambut sahaja manakala perkhidmatan lain masih tidak dibenarkan.
-KN