Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)
IPOH, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada Ismail Mohd Zain atas keperibadian mulianya membersihkan Sungai Balun berhampiran Taman Slim Permata, Slim River secara sukarela.
Kisah mengenai Ismail telah dipaparkan dalam sebuah akhbar tempatan nyata membuka mata banyak pihak hingga menarik perhatian baginda.
Menerusi ‘Warkah Penghargaan’ bertarikh 15 Februari 2021 yang dianugerahkan kepada Ismail, Sultan Nazrin bertitah usaha membersihkan sampah sarap yang terperangkap bukan sahaja membantu pengaliran air sungai yang dapat menghindarkan banjir, malah turut membantu memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak, seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.
“Bertugas sebagai guru, Ismail telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion perguruan.
“Hal ini sewajarnya dijadikan contoh oleh warga dan para pelajar di negara ini,” titah baginda.
-SH