Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Sumbangan Kit Makanan kepada OKP Melaka Tengah

By 30 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam/Muhammad Azran Abd Malek (Melaka Tengah)

MELAKA TENGAH, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Program Komuniti Bebas Rasuah anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Melaka Tengah melibatkan komuniti dan pemimpin serta beberapa agensi kerajaan telah diadakan bertujuan memberi kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah kepada masyarakat serta memberi pertolongan dan sokongan kepada individu yang menghadapi masalah dadah terutama di kawasan Melaka Tengah.

EXCO NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata program ini adalah satu platform yang baik terutama bagi masyarakat setempat dalam membanteras gejala sosial seperti dadah mahupun vandalisme yang memfokuskan kepada golongan belia bawah umur kerana meraka mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya.

Mohd Rafiq (berdiri) ketika berucap dalam majlis tersebut.

Mohd Rafiq (berdiri) ketika berucap dalam majlis tersebut.

“Sebagai Exco yang mewakili suara belia, program ini mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri dalam memastikan apa yang ingin disampaikan kepada masyarakat mempunyai faedah dan pengajaran yang boleh digunakan kelak,” katanya yang ditemui dalam program tersebut di Taman Krubong Jaya, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu menurut Pegawai AADK Melaka Tengah Noralizah Kasmin, program ini turut diadakan bagi menyampaikan sumbangan berupa kit makanan seperti beras, tepung dan sebagainya kepada 10 individu Orang Kena Pengawasan (OKP) yang telah disumbangkan oleh Unit Rawatan AADK agar golongan ini dapat meneruskan kelangsungan hidup di luar sana.

“OKP ini merupakan individu yang telah mendapat perintah oleh mahkamah atau secara sukarela menjalani rawatan dan pemulihan dan selepas tamat tempoh dan individu tersebut perlu menjalani pengawasan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di setiap daerah,”  katanya.

-KN

 

Tinggalkan komen anda