Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md. Nor (Besut)
BESUT, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 26, 540 ekor benih ikan pelbagai spesis telah dilepaskan di perairan umum pada pagi semalam di Sungai Keluang Besar, Kampung Bukit Tanah, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu Dr. Azman Ibrahim, berkata tujuan program pelepasan benih ikan ke perairan umum ini adalah untuk meningkatkan stok sumber perikanan darat dalam menjamin bekalan makanan serta meningkatkan sosio-ekonomi nelayan darat di pengairan sungai dan tasik.
“Program memperkayakan sumber perikanan meliputi perikanan laut dan perikanan sungai, tasik, kolam iaitu perikanan darat.
“Dalam setahun, lebih kurang satu juta benih ikan dilepaskan di tasik, kolam dan sungai daripada bulan Januari hingga Mac 2021 dan sebanyak 381,134 ekor benih ikan telah telah dilepaskan di Tasik Kenyir bagi mencapai sasaran jabatan,” katanya yang ditemui semasa Program Pelepasan Benih Ikan, semalam.
Tambah Dr Azman, peruntukan bagi program ini adalah daripada Kerajaan Negeri Terengganu sendiri.
“Pada tahun ini, sebanyak RM1.2 Juta diperuntukkan bagi menjalankan program ini sempena Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 manakala, negeri-negeri lain bergantung kepada Kerajaan Pusat,” katanya.
Menurut Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, berkata jumlah benih ikan yang dilepaskan adalah dari spesis lampam sungai sebanyak 11,400 ekor, baung sungai 340 ekor, udang galah 14,500 ekor dan haruan 300 ekor.
Baru-baru ini, pada 14 dan 15 Mac, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah menjalankan Program Inventori Sumber Perikanan Darat yang berpangkalan di Baruh Gong Telikung Kampung Bukit Tanah, Jabi Besut Terengganu.
“Sebanyak 23 sampel spesis ikan telah dikenalpasti antaranya ikan tengas, sebarau, haruan, toman, temperas, lampam jawa, lampam sungai, puyu, kawan, baung sungai, selat, tapah bemban dan lain-lain.
“Spesis yang paling banyak adalah dari keluarga cyprinidae iaitu ikan temperas,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perancangan program pelepasan tahun 2021 ini adalah terdiri daripada tiga lokasi iaitu Sungai Marang Kampung Pengakalan Berangan, Marang, Sungai Setiu, Pengkalan Nyatoh, Setiu, dan Sungai Nerus, Kampung Jeram, Kuala Nerus.
Katanya, pelepasan sejuta benih ikan di Tasik Kenyir akan diadakan secara berperingkat bergantung kepada ketersediaan benih daripada Pusat Pembenihan Perikanan.
-ii-