Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Dua Inisiatif KKMM akan Bantu Keluarga B40 Miliki Peranti

By 20 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Dua inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) iaitu – penambahan subsidi pembelian telefon dan MyBAIKHATI di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), akan membantu keluarga B40 memiliki alat peranti.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata usaha ini sekali gus membolehkan mereka untuk belajar, bekerja serta berniaga dalam talian dan meneruskan kelangsungan hidup dalam suasana norma baharu.

Di bawah PEMERKASA, kerajaan akan menambah subsidi pembelian telefon daripada RM180 kepada RM300 untuk kategori keluarga.

Katanya, subsidi itu akan disalurkan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang layak terutamanya keluarga yang mempunyai anak bersekolah.

“Selain itu, pilihan alternatif iaitu pelan rebat data juga akan diperkenalkan bagi keluarga dan individu pada harga RM15 sebulan untuk tempoh 12 bulan,” katanya.

Beliau berkata program subsidi bernilai RM2 bilion itu bakal dilaksanakan pada awal Mei.

Program MyBAIKHATI pula telah bermula pada 18 Mac dan merupakan kempen penyumberan khalayak (crowdsourcing) untuk mengumpul dan membaik pulih alat peranti terpakai bagi kegunaan anak-anak keluarga kumpulan B40.

MyBAIKHATI melibatkan enam syarikat telekomunikasi iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan TIME dotCom Bhd akan berlangsung selama 12 bulan bermula di Lembah Klang sebelum diperluaskan ke seluruh negara, katanya.

“Saya mengalu-alukan syarikat telekomunikasi untuk mempergiatkan lagi penambahan kuota data selain menawarkan pakej internet mampu milik kepada semua lapisan masyarakat agar tiada yang ketinggalan dalam transformasi negara ke arah pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda