Laporan/foto: Nurul Jannah Shamsol Anuar/Surega Vasuthevan (Melaka Tengah)
MELAKA 15 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri berbesar hati dengan usaha yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Melaka (JaPen Melaka) yang komited dalam menyebarkan maklumat yang tepat berkenaan pelaksanaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan orang awam khususnya komuniti setempat.
Menurut Setiausaha Khas Hal Ehwal Kebajikan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk M.S Mahadevan Sanacy, penduduk setempat perlu diberi penjelasan berkenaan proklamasi darurat, keberkesanan vaksin serta kerjasama yang patut dilaksanakan agar kita semua dapat kembali memiliki kehidupan seperti biasa.
“Kita tidak perlu terlalu mendengar berita buruk berkenaan vaksin kerana vaksin ini telah terbukti berkesan oleh Kementerian Kesihatan dan tanpa kesan sampingan yang memudaratkan kepada kita,” ujarnya yang turut sama dalam program Info on Wheels di Kampung Chetti, Gajah Berang, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) R. Ganes Rethanam, berkata program penerangan seperti ini harus kerap dijalankan supaya rakyat benar-benar memahami pentingnya vaksinasi COVID-19 kepada diri, keluarga dan negara.
“Kita harus bersama kerajaan dalam memutuskan rantaian COVID-19 dengan segera dan kembalikan semula ekonomi negara dan Negeri Melaka.
Melaka adalah negeri pelancongan jadi sudah tentu penting untuk kita menurunkan kes COVID-19 dengan mengambil vaksinasi,” ujarnya.
-KN