Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Polis Tahan Lelaki Miliki Senapang Angin, Belajar di Internet

By 15 Mac 2021Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

GOMBAK, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati memiliki selaras senapang angin buatan sendiri dalam satu serbuan di Kampung Nakhoda, Batu Caves Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata serbuan dilakukan Bahagian Siasatan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor jam 4.15 pagi.

“Siasatan mendapati senjata berkenaan digunakan untuk memburu ayam hutan, namun memiliki senjata berkenaan adalah satu kesalahan.

“Lelaki berusia 30 tahun itu mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Siasatan kes ini dibuat dibawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Arifai berkata, siasatan lanjut mendedahkan lelaki berkenaan belajar membuat senjata berkenaan di laman sesawang yang wujud di internet.

“Walaupun hasilnya tidak seratus peratus senjata api tetapi menggunakan angin juga mampu membawa kemudaratan jika digunakan.

“Senapang ini menggunakan tekanan angin untuk menolak bebola besi sebagai peluru dan boleh mendatangkan kecederaan atau kematian jika terkena tembakan.

“Pihak polis telah mendapat perintah Mahkamah Seksyen Selayang untuk menahan reman selama enam hari hingga 17 Mac ini,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda