Laporan/foto: Muhammad Syafiq Md Saad/Noor Anis Othman (Padang Terap)
PADANG TERAP, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 20 orang warga emas berpindah ke bangunan baharu Pusat Pengurusan Jagaan Orang Tua Bukit Bethel di Jalan Kuala Nerang, mulai semalam sejurus selepas selesai majlis perasmian Pusat Pengurusan tersebut.
Menurut Pengerusi Pusat Pengurusan Jagaan Rumah Orang Tua Bukit Bethel Lim Hoe Lian, berkata pihak beliau merasa sangat teruja dan bangga kerana selepas pelbagai masalah yang dihadapi, bangunan baharu ini akhirnya siap untuk didiami.
“Pusat Pengurusan Jagaan Orang Tua Bukit Bethel telah ditubuhkan pada tahun 1965 oleh Elizabeh Hale, seorang wanita Amerika bertujuan menjaga dan melindungi warga emas yang tidak mempunyai waris atau ahli keluarga.
“Setelah 55 tahun pusat ini ditubuhkan, bangunan lama yang semakin hari semakin usang ini sudah tidak mampu lagi untuk menampung kebajikan penghuninya.
“Maka dengan itu, pihak pengurusan telah memutuskan untuk membina bangunan baru yang lebih selesa dan praktikal apabila mendapat sumbangan daripada kerajaan negeri,” katanya yang ditemui di pusat jagaan tersebut, di sini baru-baru ini.
Menurut Hoe Lian, pembinaan bangunan baharu pusat ini mempunyai 20 bilik berasingan yang melibatkan kos hampir RM700 ribu.
“Kami turut mendapat sumbangan daripada badan-badan kebajikan, syarikat-syarikat persendirian, pertubuhan-pertubuhan komuniti serta penderma perseorangan,” katanya.
-RJ