Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Kereta api pernah menjadi kenderaan pengangkutan utama selain jalan sungai sebagai perhubungan utama masa dahulu dan tidak hairanlah pihak pemerintah zaman dahulu telah membina tugu kereta api untuk menjaga dan mengawal perjalanan pengangkutan tersebut.
Menurut Penyelia Stesen Kereta Api Tanah Merah Wahab Awang Hasan, tujuan utama pembinan tugu ini adalah untuk menjaga keselamatan kereta api daripada dibom oleh pengganas komunis.
“Askar British bersenjata akan berkawal di tugu agar perjalanan kereta api sentiasa selamat dan tidak diganggu gugat dan kini kemudahan kereta api sebagai pengangkutan utama telah dinaik taraf demi keselesaan penumpang.
“Tarikh mula dibina tugu ini tidak jelas namun dipercayai telah dibina pada zaman British sebelum Jepun menduduki Tanah Melayu tahun 1941 dan ia dibina berdekatan dengan stesen bagi menjamin keselamatan penumpang dan barangan daripada gangguan musuh,” katanya yang ditemui di Kampung Gertak Cabang, di sini.
Menurut Wahab, terdapat sebuah tugu kereta api yang masih wujud di kampung ini yang dahulunya banyak namun akibat arus pembangunan dan masalah sosial tugu tersebut terpaksa dirobohkan.
“Kita terpaksa robohkan tugu ini akibat banyak masalah yang timbul seperti dijadikan tempat melepak dan aktiviti tak bermoral.
Lebih baik kita bertindak merobohkan tugu untuk mengawal masalah yang dihadapi,” katanya.
Seorang penduduk yang tinggal berdekatan kampung berkenaan Mahasan Yusuf, 50, memberitahu bahawa inilah satu-satunya tugu yang masih kekal hingga kini dan berharap akan dijadikan tugu sejarah bagi tatapan generasi akan datang.
“Apabila anak cucu melihat tugu ini mereka akan terkenang nostalgia zaman dahulu betapa peritnya kesusahan yang dihadapi.
“Tugu ini antara kenangan sejarah bahawa keselamatan sangat diutamakan dalam sistem perhubungan kereta api pada masa itu daripada pihak musuh yang mengancam kepentingan perhubungan awam,”katanya.
-NAZ