Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Unit Fotografi JaPen (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri dan agensi berkaitan sentiasa memantau keadaan sungai-sungai di negeri ini agar tiada pihak yang tidak bertanggungajawab melakukan pencemaran sungai.
Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, berkata kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati menyebabkan pencemaran sungai.
“Pelbagai jabatan dan agensi serta pihak berkuasa di peringkat negeri sentiasa memantau keadaan persekitaran sungai-sungai di negeri ini agar tidak menjadi tempat pembuangan bahan-bahan tercemar terutamanya di lokasi-lokasi sungai yang terpencil,” katanya ketika ditemui selepas Program Gotong-Royong Sayangi Sungai Kim Kim, di sini semalam.
Hasni berkata beliau sendiri melihat bahan-bahan terlarang yang masih dibuang sekitar Sungai Kim Kim sepanjang melakukan aktiviti gotong-royong bersama 440 sukarelawan yang lain.
“Satu jawatankuasa bertindak akan dibentuk untuk mengawal kejadian ini dari berulang dan kerajaan negeri akan mengenakan tindakan undang-undang kepada penyumbang pencemaran sungai,” ujarnya.
Program gotong-royong sungai ini merupakan inisiatif dan usaha kerajaan negeri dan pusat melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menjadikan persekitaran Sungai Kim Kim sebagai kawasan yang bersih dan mesra masyarakat.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang, kawasan-kawasan rizab sungai ini dicadangkan untuk dibangunkan sebagai kawasan rekreasi melalui pembinaan denai sungai.
“Dengan adanya denai di tepi sungai, ia akan menggalakkan aktiviti berasaskan alam semula jadi seperti berkelah, memancing dan berbasikal di kalangan komuniti setempat,” ujarnya.
Gotong-royong ini merupakan program perintis kepada semua program gotong-royong yang akan diadakan di setiap daerah dalam negeri Johor sempena sambutan Hari Air Sedunia pada 22 Mac ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Datuk Samsolbari Jamali, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali dan Pegawai Daerah Johor Bahru Abdul Rahman Salleh.
-NI-