Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Rakyat Perlis Diseru Dukung Usaha Jayakan Program Imunisasi COVID-19

By 1 Mac 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Mat (Kangar) 

KANGAR, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man telah melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Perlis di Klinik Kesihatan Kampung Gial, di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Azlan Man, Perlis dijangka akan menerima sebanyak 400,000 dos yang mencukupi untuk keperluan vaksinasi COVID-19 bagi keseluruhan penduduk Perlis yang layak menerima suntikan vaksin.

“Klinik Kesihatan Kampung Gial merupakan Pusat Simpanan Vaksin (PSV) untuk negeri ini.

“Manakala bagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) empat buah tempat telah dipilih iaitu Klinik Kesihatan Kampung Gial, Klinik Kesihatan Beseri, Klinik Kesihatan Felda Chuping dan juga Hospital Tuanku Fauziah,” katanya ketika sidang media selepas majlis tersebut.

Tambah beliau, Program Imunisasi COVID-19 akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama akan dilaksanakan mulai bulan Februari hingga April 2021 yang melibatkan seramai 8,000 orang petugas kesihatan kerajaan dan swasta serta petugas bukan kesihatan seperti anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain yang berkaitan.

“Fasa kedua yang melibatkan 94,000 orang warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi serta orang kurang upaya (OKU) akan dibuat pada bulan April hingga Ogos 2021.

“Bagi fasa ketiga yang akan bermula pada bulan Mei 2021 hingga Februari 2022 pula akan melibatkan 100,000 orang penduduk yang berumur 18 tahun dan ke atas,” ujarnya.

Azlan memaklumkan, pada hari ini seramai 342 orang anggota kesihatan akan diberi vaksin iaitu 180 orang anggota di KK Kampung Gial, 108 di KK Beseri dan 54 orang di KK Felda Chuping.

“Untuk pelaksaan bagi fasa dua dan tiga, ia akan dibuat di Dewan 2020, Dewan Seri Melati, Dewan Sivik Arau dan juga beberapa lokasi terpilih yang akan memudahkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin COVID-19 ini nanti,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengulas lanjut berkaitan vaksin Pfizer-Biontech yang mana ia memerlukan dua dos dan tempoh masa menerima vaksin kedua adalah 21 hari daripada dos pertama.

“Vaksin ini akan merangsang sistem daya lawan jangkitan tubuh dan membentuk imuniti terhadap jangkitan COVID-19.

“Saya menyeru agar semua rakyat negeri ini untuk bersama-sama mendukung usaha-usaha yang dilaksanakan ini dan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Negeri Perlis,” tambahnya lagi.

Beliau yakin bahawa langkah ini adalah cara terbaik bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikekang di negeri ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Teh Chai Aan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Tuan Azman Mohd Yusof, Pengarah Penerangan Negeri Perlis Azrul Hasan dan ketua-ketua Jabatan.

-NI-

Tinggalkan komen anda