Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 29 Mac (Malaysiaaktif) -Sebanyak 30 pokok kelapa pandan (cocos nucifera) ditanam sebagai simbolik bersempena Program Gotong Royong Hari Air Sedunia Daerah Dungun 2021, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli, berkata menyedari kepentingan air sebagai sumber kehidupan kita yang paling utama, kita perlu mengambil langkah untuk melindungi sumber air dan memastikan kemampanan sumber air.
“Kita tidak boleh menyerahkan penyelesaian masalah air kepada penswastaan, sebaliknya pengurusan air perlu diletakkan sebagai tanggungjawab sepenuhnya kerajaan dengan pemantauan secara demokratik daripada rakyat secara berterusan” katanya ketika merasmikan program, baru-baru ini.
Shaiful Ahmad, 42, berkata program seumpama ini dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar dan kepentingan masyarakat dalam menjaga persekitaran agar kualiti air dan kawasan persekitaran bersih.
“Hari Air Sedunia yang disambut setiap tahun sebagai peringatan bahawa peranan penting air dalam setiap aspek kehidupan manusia mahupun alam flora dan fauna,” katanya.
Bagi Azman Mohd Nor, 50 yang turut sama dalam program gotong-royong tersebut berasa bangga dan berterima kasih kerana memilih kawasan Bam Muara Sungai Dungun sebagai tapak program.
“Kawasan yang bersih dengan pemandangan yang baik akan menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang ke kawasan yang menjadi tumpuan kaki pancing pada waktu petang,” katanya.
Program dijayakan oleh 70 orang peserta membabitkan seluas 800 meter kawasan di Bam Muara Sungai Dungun yang membabitkan tiga kampung iaitu Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang serta agensi kerajaan di daerah ini.
-ii-