Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Nadzerah Dilantik Pengarah Penerangan Sabah ke-15

By 24 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Anak jati Tandek, Nadzerah Abdullah, kini meneruskan legasi kepimpinan wanita khususnya di Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah selepas dilantik sebagai pengarah jabatan tersebut bagi menggantikan Norzawiyah Bulka yang bersara baru-baru ini.

Nadzerah yang telah berkhidmat selama 39 tahun dalam jabatan tersebut menyifatkan pelantikannya sebagai suatu amanah yang perlu dipikul bersama.

“Saya bertugas di lapangan lebih kurang 20 tahun dan naik pangkat melalui kekananan jawatan daripada Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu ke Pegawai Penerangan Bahagian Sandakan dan kemudian dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara.

“Kemudian, saya terus menimba ilmu dalam cabang komunikasi media sebagai Pegawai Perhubungan Awam (PRO) di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

WANITA....Nadzerah meneruskan legasi kepimpinan wanita di JaPen Sabah.

WANITA….Nadzerah meneruskan legasi kepimpinan wanita di JaPen Sabah.

“Sebelum ke MOTAC, saya dilantik sebagai Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Jabatan Penerangan Malaysia di Putrajaya dan sekali lagi saya mendalami analisis dasar khususnya dasar JaPen bagi sesebuah negeri.

“Saya mengutamakan keseronokan bekerja sama ada di pejabat atau di lapangan kerana keseronokan bekerja menjadikan kita matang dalam mengharungi alam pekerjaan dan menghasilkan kualiti output yang cemerlang,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Dang Bandang, di sini semalam.

Mengenai hala tuju yang ingin dipacu, beliau menzahirkan hasratnya untuk mendigitalkan JaPen Sabah dengan mengambil kira aspek Komunikasi Digital dan Perhubungan Awam Digital, memandangkan jabatan tertua itu kini disaing hebat oleh jabatan-jabatan yang lain.

“Saya berharap dapat melaksanakannya kalau pun tidak sepenuhnya, mungkin sebagai langkah permulaan ke arah pendigitalan jabatan,” kata beliau.

Dalam usaha merealisasikan misi berkenaan, Nadzerah kini dibantu oleh timbalannya, Harun Maddasa, yang melapor tugas pada 4 Januari lalu sebagai Timbalan Pengarah Penerangan Sabah.

Meski perwatakan Harun sangat sederhana dan bersahaja, karisma dan kepimpinan pegawai kelahiran Semporna itu tidak boleh dipertikaikan.

KARISMA...Harun mempunyai karisma yang tersendiri.

KARISMA…Harun mempunyai karisma yang tersendiri.

Seperti Nadzerah, karier Harun juga bermula di JaPen Sabah dengan jawatan Penolong Pegawai Penerangan pada 4 April 1984.

Selain di lapangan, pengalaman paling bermakna bagi dirinya ialah bertugas selama 15 tahun di luar jabatan sebagai Pegawai Kader di Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Unit Gerak Saraf dan Perang Saraf, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), selain PRO di Kementerian Kesihatan Malaysia dan MOTAC di Putrajaya.

Kombinasi dua pegawai tersebut diharap dapat melahirkan sinergi komunikasi mapan dalam usaha JaPen Sabah mengadaptasi norma baharu menerusi pendigitalan perkhidmatan kepada masyarakat.

Perwatakan yang sederhana menjadikan dirinya mudah didekati orang sekeliling.

Perwatakan yang sederhana menjadikan dirinya mudah didekati orang sekeliling.

-RI

Tinggalkan komen anda