Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi / SRIIDU (Jempol)
JEMPOL, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Setelah lebih kurang empat bulan tidak bersekolah bermula Oktober tahun lalu, hari ini merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh para pelajar Sekolah Rendah Islam Integrasi Darul Ulum ( SRIIDU Jempol ) dan merupakan lembaran baru bagi para pelajar yang mula melangkah ke alam persekolahan ke tahun satu.
Disebalik ada yang teruja memulakan alam persekolahan kerana dapat bertemu rakan baru namun begitu tidak terkecuali pastinya akan berlaku adegan air mata kerana masih belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah yang baru.
Menyedari pelbagai ragam dan gelagat pelajar-pelajar tahun satu berdasarkan pengalaman yang lepas, pentadbir sekolah telah merangka beberapa aktiviti yang boleh menarik minat dan mengujakan pelajar.
Menurut guru besar sekolah, Nur Hidayah Shaari, 30, beliau dan guru-guru telah membuat persediaan awal dalam menyambut pelajar yang baru mendaftar ini.
“Tahun ini kami menerima kemasukan seramai 31 orang murid tahun satu dan sebagai persediaan guru-guru terlebih dahulu telah membuat pembersihan serta sanitasi di kawasan sekolah dan kami sambut pelajar dengan memberi sekuntum bunga untuk mereka berikan kepada guru dan juga cop tangan sebagai tanda kehadiran.” katanya ketika ditemui disini hari ini.
“Aktiviti pada hari ini kita bahagikan kepada dua sesi iaitu aktiviti seni dan memasak kerana aktiviti seperti ini sebenarnya secara tidak langsung kita gabungkan dengan matapelajaran teras yang diajar seperti untuk subjek Sains iaitu cara pemakanan sihat yang merangkumi gizi makanan seimbang iaitu dengan penggunaan bahan seperti tomato, roti, sayur-sayuran.” ujarnya lagi.
Sementara itu, pelajar tahun satu, Ammar Hazim yang ditemui berkongsi perasaan teruja ke sekolah.
“Hari ini ke sekolah dengan pakaian baru, kasut baru dan sekolah baru serta guru-guru disini baik.”katanya.
SRIIDU Jempol yang merupakan sekolah tahfiz swasta telah beroperasi sejak 2015 lagi dan walaupun sekolah menitikberatkan soal pendidikan agama namun dari segi akademik pihak sekolah masih mengikut silibus Kementerian Pendidikan Malaysia.
-FF