Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Majoriti masyarakat menyambut baik pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Februari lalu.
Hasil tinjauan di lapangan mendapati, orang ramai menyokong penuh usaha murni kerajaan yang menyediakan vaksin kepada rakyat bagi membendung wabak COVID-19 daripada terus berleluasa dalam negara.
Bekalan vaksin yang diagihkan kepada setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuat secara berperingkat mengikut keperluan jumlah penerima vaksin dan berdasarkan kesesuaian masa.
Pemilik kedai makan, Muhammad Azri Hanif Samsuddin, 30, berkata beliau menyambut baik dan menyokong penuh program imuninasi COVID-19 berkenaan.
“Jangan sesekali terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat mengenai vaksin, sekiranya ada sebarang masalah atau keraguan, rujuklah kepada Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya ketika ditemu ramah di sini semalam.
“InshaAllah, semoga segala ikhtiar dan usaha akan diberkati dan kita bertawakal kepada Allah supaya kita semua dilindungi daripada penyakit COVID-19 dan negeri ini akan kekal terpelihara,” katanya.
Di samping itu, Zainab Ngah, 65, berkata sebaik sahaja mendengar pengumuman bahawa orang ramai sudah boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin, beliau menghubungi anaknya dengan kadar segera, agar membantunya mendaftar di dalam sistem aplikasi MySejahtera.
“Makcik tidak ragu-ragu dengan insentif kerajaan yang menyediakan vaksin kepada masyarakat, ia satu langkah pencegahan awal bagi melawan penularan COVID-19 dan kerana suntikan akan memberi perlindungan kepada setiap orang daripada terkena jangkitan.
“Makcik juga berharap agar diberikan suntikan vaksin ini dengan kadar segera dan tidak perlu menunggu lebih lama kerana makcik dimaklumkan warga emas seperti mak cik adalah golongan berisiko dan mudah mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.
Sementara itu, bagi Che Jah Che Sin, 58, yang merupakan bekas pejawat awam, bersetuju untuk menerima vaksin seperti yang disarankan oleh kerajaan.
“Saya menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa memikirkan kepentingan rakyat.
“Dengan semangat ‘kita jaga kita’, penting untuk semua pihak sama-sama berjiwa besar dan berfikiran lebih jauh dalam usaha melawan pandemik,” tambah Che Jah.
Katanya, masyarakat tiada pilihan melainkan masing-masing perlu turut serta melakukan promosi kebaikan pengambilan vaksin untuk menyekat penyebaran penyakit berjangkit ini.
Maklumat tambahan, februari lalu, Malaysia mencatatkan lebih 230,000 kes positif COVID-19 dan lebih 900 nyawa terkorban.
Oleh itu, proses vaksinasi kepada sekurang-kurangnya 70 peratus populasi negara wajar dilakukan segera sekiranya mahu kembali kepada norma biasa.
Justeru, kerajaan memperuntukkan pembelian vaksin daripada Pfizer-BioNTech, COVAX dan AstraZeneca-Oxford dengan anggaran sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk akan dibekalkan vaksin pada 2021, sebagai permulaan.