Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Klinik Kesihatan Indera Mahkota menaik taraf sistem teleperubatannya dalam meningkatkan capaian perkhidmatan kesihatan di situ.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota memaklumkan, seiring dengan perubahan teknologi digital, klinik ini menggunakan sistem aplikasi temu janji dalam talian bagi memudahkan penduduk sekitar membuat temu janji atau khidmat nasihat kesihatan hanya melalui telefon bimbit.
“Kerajaan akan berusaha menyalurkan peruntukan tambahan bagi kerja-kerja menaik taraf agar kakitangan dapat menjalankan tugas dengan lebih lancar dan tahap perkhidmatan kesihatan kepada warga Indera Mahkota dapat ditingkatkan pada masa akang datang,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja dan menyantuni kakitangan klinik kesihatan tersebut, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan semua pusat vaksin seluruh negara akan menerima liputan rangkaian internet bagi memastikan masyarakat mendaftar bagi penerimaan suntikan vaksin.
“Kini pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bersedia menaik taraf liputan internet di pusat vaksin bagi fasa ketiga dan keempat bagi rangkaian liputan yang lebih baik,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Perubatan Pentadbiran Klinik Kesihatan Indera Mahkota Dr. Nazrah Zarira Hazmah dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan Dr. Rahimah Ibrahim.
-KN