Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Semua Mahad Tahfiz Wajib Berdaftar Dengan MUIS – Arifin

By 2 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas (Kota Kinabalu)

TAWAU, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri mewajibkan semua madrasah tahfiz di negeri ini berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, menjelaskan langkah itu bagi memastikan pelaksanaan kurikulum yang seragam dan memudahkan penyaluran peruntukan serta sumbangan zakat daripada kerajaan.

Paling penting ujarnya, pendaftaran tersebut akan memudahkan pihaknya menyalurkan sumbangan ataupun zakat daripada agensi agama seperti Pusat Zakat Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

“Kita meminta mana-mana madrasah dan pusat-pusat tahfiz yang belum berdaftar, daftarlah dengan JHEAINS bagi memastikan aliran atau kurikulum yang diajarkan di pusat-pusat tahfiz seiring dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Selain itu, yang paling penting adalah untuk memudahkan kita menyalurkan apa-apa sumbangan daripada Pusat Zakat Sabah ataupun MUIS,” katanya semasa lawatan ke Sekolah Agama Negeri (SAN) Merotai Besar, di sini kelmarin.

Arifin (tengah) melawat asrama Mahad Tahfiz Sulaimaniyyah Bombalai, Tawau.

Arifin (tengah) melawat asrama Mahad Tahfiz Sulaimaniyyah Bombalai, Tawau.

Mengenai berkemungkinan wujudnya pusat tahfiz yang menjalankan kurikulum yang bercanggah, Arifin yang juga Exco Pendidikan Negeri mendedahkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kes tersebut.

“Setakat ini, kita tidak menerima laporan mengenai kes seperti itu, sebaliknya kita mendapat kerjasama yang baik daripada semua pusat tahfiz.

“Pemantauan kurikulum turut dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan sekiranya berlaku, kita akan mencari jalan untuk memperbaiki menerusi tindakan yang sewajarnya bagi memastikan masyarakat tidak terpengaruh dari sudut aqidah yang akhirnya membawa kepada perpecahan ummah,” katanya.

Pada lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan pengurusan dan pengimarahan Masjid Hidayatul Iman sebanyak RM5,000 dan sumbangan pengurusan SAN Merotai Besar RM24,000, selain melawat dan menyampaikan Ihsan Makanan Pelajar COVID-19 (IMPAC) kepada Madrasah Tahfiz Quran Arrayan dan Mahad Tahfiz Darul Moqammah.

Terdahulu, beliau melawat Kelas Bimbingan Saudara Kita (Mualaf) Tawau dan menyampaikan sumbangan khas pengurusan sekolah agama bernilai RM20,000 kepada Sekolah Rendah Islam AlFateh Taman Ria dan IMPAC berjumlah RM55,800.

Turut disampaikan beliau, bantuan zakat RM90,000 dan IMPAC sebanyak RM22,500 kepada Mahad Tahfiz Sulaimaniyyah, Bombalai.

-SH

Tinggalkan komen anda