Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin/Muhd Azrin Mubin Halim (Langkawi)
LANGKAWI, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Pasukan Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi telah melancarkan operasi khas penyeludupan dan pengedaran daun ketum yang didalangi oleh sindiket pengedaran daun ketum warga tempatan di dalam feri penumpang.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, seorang lelaki yang merupakan anak kapal feri telah berjaya ditangkap dan hasil dari serbuan tersebut pihak polis telah menjumpai enam guni putih berisi dedaun hijau yang dibungkus dengan plastik lutsinar, disyaki daun ketum dengan anggaran berat 210 kilogram bernilai RM2100.00 di bahagian tempat penyimpanan barang dan bagasi penumpang.
Shariman berkata modus operandi kegiatan penyeludupan daun ketum ini adalah dengan menyembunyikan daun ketum di dalam feri bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dibawa masuk dari Kuala Kedah ke Langkawi.
“Hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine manakala hasil semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau.
“Suspek direman selama empat hari bermula 9 Mac untuk siasatan lanjut di bawah Sek 30(3) Akta Racun 1952 dan Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di Dewan Integriti IPD Langkawi, di sini semalam.
Menurut Shariman, pihak polis khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sentiasa berusaha mengesan pelbagai bentuk kegiatan pengedaran dadah melalui risikan rapi dan profesional.
“Pihak Polis Langkawi berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah dan ketum yang berlaku di sekeliling mereka dalam usaha untuk memerangi dadah dan penyalahgunaan ketum di Malaysia amnya dan Pulau Langkawi khususnya.
~RJ~