Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 10 Mac (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Dr Azman Ibrahim, berkata kerajaan negeri menggunakan peruntukan yang besar bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini antaranya melalui Projek Berkelompok Kelapa Pandan.
“Projek kelompok Kelapa Pandan ini merupakan projek pembangunan tanaman kelapa paling besar di Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang,” katanya ketika merasmikan Program CSR Tani di Projek Kelompok Kelapa Pandan Kampung Alor Mak Bah Kuala Dungun, di sini semalam.
Dr. Azman berkata pendekatan program CSR Tani ini lebih kepada program gotong-royong perdana yang melibatkan pemimpin, peserta, masyarakat kampung dan jabatan serta agensi kerajaan.
“Melalui program gotong-royong, banyak kerja dapat diselesaikan bila ianya dibuat secara muafakat seperti membersih parit, pembaikan pagar, mencuci longkang, membasmi musuh tanaman serta pemulihan semula lot tanaman,” katanya.
Ketua Peserta Projek Kelapa Pandan Fasa pertama, Akhbar Kadir, 46, berkata beliau sangat berterima kasih kepada Pejabat Pertanian Daerah serta Jabatan Pertanian Negeri yang sentiasa memberi tunjuk ajar bagi penghasilan yang baik.
“Orang kampung biasa akan bergantung kepada pengetahuan yang diperolehi dari orang lama, namun kami sangat beruntung kerana setiap maklumat yang baharu dan terkini akan disalurkan terus kepada peserta.
“Program pagi ini, sebelum program gotong-royong bermula, kami dapat maklumat daripada ceramah ringkas yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Pengarah Pertanian Negeri, Zulkifli Amin Yusof,” katanya.
“Hasil dari projek tanaman kelapa pandan yang saya usahakan telah saya perolehi dan saya jangkakan jika dibuat air nira atau air tuak akan mempunyai permintaan yang tinggi pada Bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi,” ujar Suhaimi Sulaiman, 61.
Norisah Mohd, 56, berkata beliau bertambah semangat dan berhasrat untuk menjadikan projek kelapa pandan sebagai sumber pendapatan dan sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat dari Pejabat Pertanian Daerah.
-ii-