Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Kerjasama di antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah berupaya memacu program digitalisasi kerajaan negeri.
Pengarah Wilayah TM Sabah Datuk Mohd Sainal Mohd Amin, optimis kerjasama strategik dua organisasi bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu dapat membantu usaha ke arah merealisasikan pendigitalan perkhidmatan awam di negeri ini.
“TM akan bekerjasama dengan JaPen Sabah dalam melaksanakan program-program bersemuka di lapangan secara bersama-sama.
“Selain merapatkan silaturahim sesama agensi bawah kementerian, kerjasama ini akan memberi manfaat serta impak kepada masyarakat khususnya dalam membantu kerajaan negeri merealisasikan hasrat sebagai Kerajaan Digital Pintar,” ujar beliau.
Mengenai perkembangan kerja-kerja penggantian talian tembaga kepada gentian optik di Sabah, Mohd Sainal mendedahkan, pihaknya sedang mempergiatkan kerja-kerja berkenaan dan mensasarkan siap sepenuhnya pada Jun 2022.
“TM sedang mempergiat kerja-kerja ini dengan mempercepatkan pelaksanaannya dan kita jangka semuanya akan siap selewat-lewatnya pada Jun 2022.
“Setakat ini, kerja-kerja itu telah mencapai 50 hingga 60 peratus yang bertumpu di kawasan bandar, sebelum diperluaskan ke kawasan pinggir dan luar bandar,” katanya ketika ditemui media selepas mengetuai rombongan TM dalam kunjungan hormat kepada Pengarah Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah di Wisma Dang Bandang, di sini hari ini.
-RI