Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 20 April (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 masih kekal melepasi 2,000 apabila 2,078 kes direkodkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan virus setakat ini 377,132 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam Twitter rasmi memaklumkan Sarawak menjadi negeri dengan kes baharu tertinggi iaitu 589 kes, diikuti Selangor (457) dan Kelantan (290).
Sejumlah 153 kes dicatatkan di Kuala Lumpur, Sabah (125), Johor (115), masing-masing 91 kes di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Kedah (48), Perak (43), Pahang (32), Melaka (27), Terengganu (8), Labuan (6), Putrajaya (2) dan Perlis (1).
Sementara itu, menerusi kenyataan semalam Dr Noor Hisham berkata lapan kematian dilaporkan melibatkan warga tempatan manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 20,522.
Menurutnya 1,402 kes sembuh dicatatkan dan 228 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 93 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau berkata 14 kluster baharu dikenal pasti melibatkan enam kluster berkaitan pendidikan termasuk satu kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan, empat kluster komuniti, tiga kluster tempat kerja, dan satu kluster keagamaan iaitu Bayan Cenderawasih di Kedah.
Tiga kluster pendidikan dilaporkan di Kelantan iaitu Kluster Tangok, Pulai Chondong dan Jalan Hospital, selain Kluster Jalan Tagasan (Sabah), Jalan Medan Aliff (Johor) dan Jalan Weng (Kedah).
Tiga kluster komuniti dilaporkan di Sarawak iaitu Kluster Sungai Duan, Sungai Passin dan Sungai Selitut, manakala satu di Perak iaitu Kluster Jalan Bandar Universiti.
Dua kluster tempat kerja dilaporkan di Johor iaitu Kluster Jalan Cahaya Baru dan Cyber Park manakala satu di Selangor iaitu Kluster Jalan Sulah 16.
— BERNAMA