Laporan/foto: Anis Hayati Tom (Kota Kinabalu)
KUNAK, 19 April (Malaysiaaktif) – Kelab belia Kunak aktif salur bantuan melalui Program Dapur Belia Ramadan.
Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Pantai Timur Irwan Iskandar, berkata sebanyak 18 kelab belia aktif menyalurkan bantuan pada Program ‘Dapur Belia’ sepanjang bulan Ramadan kepada masyarakat di daerah tersebut.
Beliau berkata, program tersebut merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bersama kelab-kelab belia dalam usaha membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada golongan yang terjejas ketika pandemik COVID-19.
“Setiap kelab belia yang berdaftar dengan KBSS dan aktif dalam pelbagai aktiviti akan menerima geran persatuan sebanyak RM5000 yang diguna untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat menerusi penyaluran keperluan bantuan barangan dapur dan keperluan asas.
“Penyaluran dana tersebut menerusi kelab-kelab belia membuktikan iltizam dan usaha kerajaan dalam membantu rakyat yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, seramai 30 keluarga dan individu menerima manfaat daripada Program Dapur Belia Sabah dengan kerjasama Majlis Belia Sabah (MBS) dengan mensasarkan golongan yang kurang berkemampuan di daerah ini.
Semua sumbangan diagihkan kepada ketua isi rumah yang layak dan telah dikenal pasti serta individu yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap dan terjejas sepanjang pandemik COVID-19.
“Setakat ini, komitmen yang ditunjukkan oleh kelab-kelab belia yang terlibat amat positif dan menggalakkan.
“Aktiviti kemasyarakatan ini secara tidak langsung dapat mempergiatkan lagi aktiviti kesukarelawan dalam kalangan belia Sabah khususnya di daerah Kunak,” jelas Irwan.
-RI