![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/04/IMG-20210420-WA0000.jpg)
Laporan/foto: Joanes Robert Johnny (Kota Kinabalu)
TUARAN, 20 April (Malaysiaaktif) – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bantayan, di sini berbesar hati menerima sumbangan dua buah unit televisyen (TV) pintar bagi kegunaan sekolah tersebut yang disumbangkan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim.
Menurut Guru Besar SK Bantayan Salgaring Wahit, sumbangan TV pintar tersebut adalah bagi memenuhi keperluan pihak sekolah sebagai alat bantu mengajar berasaskan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) di sekolah.
“Dengan adanya kemudahan TV pintar tersebut, para guru lebih mudah untuk membuat penjelasan mengenai sesuatu topik menggunakan video dan animasi yang lebih realistik berbanding penerangan secara konvensional (lisan) yang diamalkan selama ini,” katanya ketika menerima sumbangan tersebut di kediaman Jahid, di sini baru-baru ini.
Pada pertemuan tersebut itu, Jahid turut menyumbang dua buah kanopi bagi kegunaan pihak sekolah untuk dijadikan sebagai ruang tempat menunggu bagi ibu bapa yang datang menghantar dan mengambil anak mereka di sekolah.
“Terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Jahid Jahim atas keprihatinan beliau kepada perkembangan dan keperluan sekolah, dan diharapkan sumbangan ini akan dapat memberi keselesaan kepada warga SK Bantayan serta membantu meningkatkan motivasi guru dalam memudahkan proses PDP murid di sekolah nanti,” katanya.
-RI