Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)
RANAU, 18 April (Malaysiaaktif) – Agensi kerajaan mempergiat usaha bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin, Program Malaysia Prihatin adalah antara inisiatif kerajaan dalam menjayakan kempen imunisasi tersebut.
“Antara tujuan Program Malaysia Prihatin adalah untuk memberikan penerangan kepada rakyat akar umbi mengenai vaksinasi dan proklamasi darurat.
“Seperti hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuka kaunter pameran bagi membolehkan penduduk yang belum mendaftar atau tidak mempunyai data untuk membuka aplikasi MySejahtera melakukan pendaftaran.
“Selain itu, Jabatan Penerangan Malaysia di Ranau juga turut memberikan kerjasama dalam menjangkau penduduk di pedalaman mendapatkan maklumat sahih, terkini dan membantu dalam proses pendaftaran vaksin.
“Kita berharap, dengan penerangan serta kemudahan akses pendaftaran vaksin yang disampaikan, jumlah penduduk mendaftar bagi mendapatkan vaksin di daerah ini akan terus meningkat,” katanya dalam Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di Dewan Paginatan, di sini semalam.
Jelas Jonathan, seramai 1,105 orang di daerah Ranau telah menerima dua dos suntikan vaksin termasuk petugas barisan hadapan dan kira-kira 200 orang lagi sedang menunggu suntikan dos kedua.
Mengulas mengenai penyerahan bantuan bakul makanan, lebih 9,000 bakul telah diagihkan pada fasa pertama dan 24,000 bakul makanan bagi ketua isi rumah disampaikan oleh Pejabat Parlimen Ranau dalam fasa kedua.
Turut berlangsung, sesi soal jawab bersama penduduk kampung untuk menyalurkan keperluan dan kegusaran masyarakat setempat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ramlan Harun, Pengarah Imigresen Sabah Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin, Pegawai Daerah Ranau Syahrin Samsir, ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KDN.
-RI