Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 18 April (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan Labuan (JaPen) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan turun padang bagi membantu masyarakat di sini untuk mendaftarkan diri dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Menurut Pengarahnya Supian Musa, JaPen yang berada di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, membuka kaunter pendaftaran vaksin COVID-19 di lokasi-lokasi strategik.
“Kami membuka kaunter bagi pendaftaran pelaksanaan pemvaksinan COVID-19 fasa dua dan tiga, kita dapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Penyiaran Labuan untuk menggalakkan orang ramai menyahut seruan kerajaan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya yang ditemui di Bazar Ramadan Medan Selera Labuan, di sini kelmarin.
Pihaknya juga katanya membuat edaran bahan-bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia kepada para pengunjung dan apron sumbangan Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien kepada peniaga-peniaga di situ.
“Edaran apron ini sebagai simbolik kepada keperluan kita mematuhi SOP yang dikuatkuasakan, semoga program ini memberi kesedaran kepada semua pihak untuk membudayakan norma baharu.
“Pendekatan secara bersemuka ini kita gunakan untuk membantu kaedah pendaftaran yang disediakan kerajaan melalui aplikasi MySejahtera,” jelasnya.
Bagi salah seorang pengunjung bazar Ramadan yang mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin COVID-19, Mohd Nazaruddin Nazeri, 36, berkata inisiatif JaPen itu memudahkan orang ramai yang ingin membuat pendaftaran.
“Kaunter ini memudahkan orang ramai terutamanya bagi warga emas yang kurang arif mendaftarkan diri melalui MySejahtera, pendekatan ini boleh diteruskan di tempat lain seperti di kawasan kampung serta lokasi yang strategik agar lebih ramai yang mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin,” katanya.
Bagi Mohd Bahrin Abdi Rahman, 22, berkata inisiatif JaPen Labuan itu amat tepat pada waktunya.
“Inisiatif ini amat sesuai kerana ramai warga tempatan turun membeli juadah berbuka di bazar ini dan ia memudahkan JaPen mendekati masyarakat pelbagai lapisan di sini,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai terutamanya warga muda untuk tidak terpengaruh dengan agenda anti vaksin kerana vaksin mampu melindungi diri serta masyarakat dari COVID-19.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien, turut menyeru semua pihak untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Edaran apron hari ini adalah untuk mengingatkan kembali keperluan mematuhi SOP dan ingin meninjau sendiri cara perniagaan yang dijalankan dengan norma baharu.
“Tinjauan kami hari ini mendapati para peniaga dan penduduk Labuan mematuhi peraturan yang disediakan dan kita harap perkara ini akan diteruskan sehingga penghujung Ramadan,” jelasnya.
-RI