Laporan/foto: Syed Mohd Adib bin Syed Hassan/Khairul Hadi (Segamat)
SEGAMAT, 1 April (Malaysiaaktif) – Kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkatkan bagi menangani isu-isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara di seluruh dunia.
Menurut Pegawai Daerah Segamat Nasri Md Ali, Hari Air Sedunia disambut setiap tahun bagi memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan yang dilancarkan pada tahun 2015 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih pada tahun 2030 serta menjadikan air sebagai isu utama dalam usaha untuk membasmi kemiskinan tegar.
“Permintaan ke atas air semakin meningkat selaras dengan perkembangan pesat kemajuan negara-negara di dunia dan populasi manusia yang semakin bertambah menjadikan kekurangan air sebagai salah satu cabaran utama di kebanyakan negara,” katanya yang ditemui sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Daerah Segamat Tahun 2021, Laman Sungai Genuang, di sini baru-baru ini.
Tambah Nasri, selaras dengan tema Hari Air Sedunia pada tahun ini iaitu menghargai air, kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan sumber air mencukupi dan selamat untuk diminum di samping memastikan bekalan air diterima oleh semua sektor pengguna iaitu domestik, industri, pertanian, penternakan dan perikanan.
“Saya berharap semua pihak khususnya penduduk setempat, pemimpin-pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan serta agensi yang terlibat secara langsung dalam pengurusan sumber air dapat bersama-sama berganding bahu bagi memastikan pelaksanaan pengurusan sumber air dijalankan dengan lebih berkesan.
“Jika ternampak sebarang aktiviti yang mencurigakan, sila lapor kepada pihak berkuasa agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil,” ujarnya.
Nasri berkata semua pihak harus harus mempunyai kesedaran yang tinggi untuk terus memastikan bahawa generasi masa depan akan terus menikmati alam sekitar yang bersih seterusnya bekalan air yang selamat.
Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Segamat Siti Juraidah Md Kamsir, berkata pada tahun 2020 Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah telah melaksanakan projek menaiktaraf rizab Sungai Genuang untuk dijadikan kawasan rekreasi yang baru bagi orang awam.
“Aktiviti penanaman pokok, mengutip sampah, mengecat kerusi dan beberapa aktiviti lain yang diadakan pada hari ini bagi menunjukkan tahap kesedaran yang wujud dalam diri para peserta bagi menghargai sumber air dan kawasan tadahannya.
“Saya yakin jika komuniti setempat dapat bekerjasama menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada agensi-agensi yang berkaitan semua masalah pencemaran yang melibatkan sumber air negara dapat diatasi,” ujarnya.
-NI-