Skip to main content
Berita TengahMAPerak

Muzium Perak Relevan Meniti Zaman

By 15 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lizza Imelia M.Sulanah (Larut Matang dan Selama)/Muzium Perak

TAIPING, 15 April (Malaysiaaktif) – Muzium Perak merupakan institusi terawal dan menjadi pusat penyelidikan Orang Asli sejak tahun 1883 yang menggunakan kaedah penyelidikan sistematik serta laporan penyelidikan yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal antarabangsa.

Menurut Pengarah Muzium Perak Zarinah Sarifan, muzium ini juga menjadi pusat pengumpulan koleksi dan spesimen berkaitan Orang Asli dan koleksi yang dikumpul akan diperagakan berdasarkan konsep pameran muzium di galeri etnografi.

“Pandemik COVID-19 menyebabkan muzium terpaksa ditutup namun keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memberi kebenaran untuk sektor pelancongan beroperasi semula membolehkan muzium ini dibuka bagi sama-sama merancakkan kembali sektor ini.

“Jabatan Muzium Malaysia kini dalam langkah mengembalikan muzium sebagai tempat tumpuan masyarakat untuk memahami sejarah dan menjadi sumber pendidikan tidak formal kepada para pelajar khususnya agar institusi muzium terus relevan dalam mengharungi cabaran dunia hari ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, di sini.

Muzium Perak, Taiping merupakan muzium yang tertua di Malaysia.

Muzium Perak, Taiping merupakan muzium yang tertua di Malaysia.

Tambah Zarinah, bangunan muzium juga dilengkapi empat menara yang menyerupai istana di  Eropah pada era neoklasikal.

“Pembinaan bangunan Muzium Perak pada tahun 1883 menggunakan khidmat arkitek berbangsa Inggeris dari England yang menerapkan gaya dan ciri-ciri bangunan masyarakat Moor di India menggabungkan seni bina neoklasikal dan zaman Victoria dalam seni bina pembinaan muzium ini.

“Bangunan Muzium Perak yang sudah berusia melebihi 100 tahun ini telah mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Daftar Warisan Kebangsaan dalam kategori bangunan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

“Sebagai muzium pertama yang ditubuhkan di Malaysia, Muzium Perak dipilih sebagai lokasi untuk melancarkan Program Jerayawara Siri 1 Kempen Kembali ke Muzium yang disempurnakan secara bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Norazman Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud baru-baru ini,” katanya.

~RJ~

 

Tinggalkan komen anda