Skip to main content
Berita SelatanMelaka

Majlis Pencapaian Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021

By 15 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Iswadi Abdul Hamid

MELAKA, 15 APRIL (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali telah merasmikan Majlis Pencapaian Kerajaan Negeri Melaka 2020-2021 pagi ini di Hatten Hotel, Melaka.

Ketua Menteri Melaka menegaskan bahawa secara ringkasnya, ia satu permulaan yang amat getir kerana berhadapan krisis yang bersifat tiga serangkai, iaitu – air, kesihatan dan ekonomi.

Sulaiman Md Ali turut menyatakan “Jadi pada ketika itu, saya memikirkan dalam masa sukar ini, bagaimana saya boleh memimpin dan mengurus Negeri Melaka ini. Emosi dan sentimen rakyat amat berbaur. Alhamdulillah, catuan bekalan air dapat dihentikan pada 1 April 2020.”

“Penularan wabak COVID-19 telah mengakibatkan bukan sahaja krisis kesihatan di seluruh dunia, malah juga krisis ekonomi pada tahap yang tidak pernah dialami setakat ini dan cabaran utama adalah untuk mengimbangi tuntutan melindungi nyawa dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan ekonomi.” katanya lagi.

Di samping usaha membantu rakyat meneruskan kehidupan, Kerajaan Negeri tidak berdiam diri tetapi terus merancang, menggubal dan melaksana pelbagai inisiatif untuk memperkasakan tadbir urus kerajaan walaupun bergelut dengan wabak Covid-19.

Inisiatif tangkas yang diambil termasuklah penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Melaka, penubuhan Majlis Digital Melaka, penubuhan Majlis Penasihat Melaka Waterfront Economic Zone, Penubuhan Majlis Air Negeri, penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Negeri Melaka, penubuhan Jawatankuasa Khas COVID-19 dan pewujudan Daerah Penuh Masjid Tanah.

Dari segi kedudukan kewangan, kerajaan Negeri  Melaka berjaya mengutip hasil berjumlah 393 juta Ringgit Malaysia, iaitu 108 peratus daripada sasaran sebenar.

Kerajaan Negeri juga komited menyediakan peluangpeluang pekerjaan dengan penganjuran program-program berkaitan penyediaan kerjaya untuk mereka yang memerlukan serta turut merancang untuk melaksanakan projek Empangan Pesisir Pantai (Coastal Reservoir) di Lembangan Sungai-Sungai Negeri Melaka untuk memastikan bekalan air mentah mencukupi sehingga tahun 2070.

Dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat; ruang politik tidak wajar menjadi “daerah kesumat dan dendam”, malahan wajar menjadi oasis perpaduan dan kestabilan yang akhirnya menyenangkan fikiran dan hati rakyat.

Kerajaan Negeri Melaka memberi jaminan dan komitmen seratus peratus bahawa pentadbiran ini akan terus mengukuh prinsip Prihatin Rakyat.

-FF

Tinggalkan komen anda