Laporan/foto: Hazlinah Samsir/VIcky Sylvester Matanjang (Kota Kinabalu)
KUDAT, 1 April (Malaysiaaktif) – Muzium Tun Mustapha merupakan bukti kesungguhan kerajaan dalam melindungi, mendokumentasi dan memartabatkan khazanah dan budaya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin, berkata muzium itu juga berfungsi sebagai tarikan baharu sektor pelancongan di Sabah.
“Gabungan khazanah budaya, alam semula jadi dan sejarah yang terdapat di sini mampu menjadi tarikan utama para pelancong serta pengkaji budaya dan sejarah.
“Selain itu, cawangan muzium Kudat ini juga memudahkan orang ramai yang ingin berurusan dengan Jabatan Muzium Negeri tanpa perlu datang ke Kota Kinabalu.
“Dalam pada itu, pihak kementerian akan terus melaksanakan peranannya dalam program-program yang berkaitan dengan budaya dan pemeliharaan khazanah, sejarah dan budaya negeri,” katanya dalam Majlis Perasmian Muzium Tun Mustapha, di sini kelmarin.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Muzium Negeri Sabah Arif Abdul Hamid, menjelaskan pihaknya memilih reka bentuk bangunan yang menggabungkan elemen moden dan tradisional, di samping menyediakan kemudahan mesra pelawat dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
“Ia adalah sebuah muzium pelbagai disiplin dengan galeri pameran yang merangkumi sejarah, zoologi, etnografi, arkeologi dan sains teknologi.
“Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga mencegah penularan wabak COVID-19, hanya lawatan berpandu dibenarkan pada masa ini,” ujar beliau.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pebangunan Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Jamili Nais, Timbalan Setiausaha Tetap I, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Mohd Sopian Alfian Nair, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta ketua-ketua adat daerah Kudat
Bangunan dua tingkat itu mula dibina pada akhir tahun 2017 dan siap pada Mac 2020 di atas tapak seluas 2.69 ekar, melibatkan kos kira-kira RM7 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
-RI