Laporan/foto: Norsaedah Haron/Muhammad Isa Ariffin (Kluang)
KLUANG, 13 April (Malaysiaaktif) – Pakej Bantuan Prihatin “Sembrong Kita” merupakan inisiatif Parlimen Sembrong dalam membantu meringankan beban rakyat.
Menurut Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Ahli Parlimen Sembrong, sepuluh pakej bantuan prihatin diperkenalkan bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Pelbagai bantuan telah disalurkan bagi meringkan beban rakyat yang terkesan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
“Di antara bantuan yang diberikan bagi membantu golongan yang terjejas meneruskan kelangsungan hidup seperti ‘Food Pack’ dan Bantuan Kecemasan Sara Hidup Mangsa COVID-19,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pada Program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Dewan Majlis Perbandaran Kluang Paloh, di sini, semalam.
Tambah beliau, para pelajar turut menerima bantuan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) seperti tablet pelajar, bantuan alat tulis, beg sekolah serta bantuan pelan data bagi memudahkan pembelajaran secara atas talian.
‘’Bantuan alatan medikal turut disalurkan kepada golongan yang memerlukan seperti kerusi roda, tongkat dan lampin pakai buang.
“Selain itu, kita juga turut memberikan Skim Bantuan Khas Penjaja dan Peniaga Kecil (peralatan berniaga), Bantuan Pengupayaan Penjaja dan Peniaga, Bantuan Khas Ibu Tunggal dan Program Sanitasi Percuma Parlimen Sembrong,” ujarnya.
Pada program tersebut, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor turut menyumbangkan dua ratus helai pakaian sekolah, termasuk kasut dan stokin untuk diagihkan kepada para pelajar yang memerlukannya di 18 buah sekolah dalam Parlimen Sembrong.
“Saya ingin menyeru kepada masyarakat di sini agar memberi sokongan terhadap Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan tampil dan mendaftar diri sebagai penerima vaksin.
“Masyarakat perlu sedar, vaksin ini bukan sahaja untuk melindungi diri kita tetapi juga orang-orang yang kita sayang, komuniti dan negara,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor R. Vidyananthan, Pegawai Daerah Kluang Jamaluddin A. Hamid dan Pengurus Besar TNB Johor Mohamed Noh Md Seth.
-NI-