Laporan/foto: Saberiya Patiroi (Kota Kinabalu)
SEMPORNA , 1 April (Malaysiaaktif) – Suasana persekitaran sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan masyarakat setempat terhadap tahap kesihatan sesebuah kawasan.
Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr. Shameer Khan Sulaiman, berkata suasana persekitaran ini turut dapat dilihat pada penerimaan masyarakat terhadap keputusan oleh masyarakat dalam isu vaksinasi.
Katanya, masyarakat perlu diberi pendedahan yang betul kerana budaya kesedaran yang baik akan membendung penularan dan peningkatan kes penyakit.
“Tahap kesihatan masyarakat berkait rapat dengan kesedaran dan celik kesihatan yang bermula dari dalam diri, justeru kita semua mesti mempunyai keupayaan untuk membuat perubahan kecil yang bermakna buat semua,” ujarnya pada Majlis Taklimat dan Penerangan Outreach MySejahtera di Dewan Belia Kampung Bangau-Bangau, di sini baru-baru ini.
Terdahulu, Pegawai Penerangan Daerah Semporna Mohammad Sarah Bulindan, berkata mereka yang telah diberi vaksin harus memberi inspirasi dan galakan kepada keluarga dan komuniti sekitar agar menjadi ikutan dan bukannya ketakutan.
“Mereka yang telah menerima vaksin ini boleh membantu pihak kerajaan dengan memberi galakan dengan menyampaikan pengalaman mereka sebelum, semasa dan selepas menerima vaksin agar imuniti berkelompok dapat diwujudkan.
“Peratusan celik kesihatan dalam kalangan masyarakat masih rendah, justeru program komprehensif dan efektif seperti ini digerakkan dengan usahasama pelbagai sektor dalam membantu masyarakat bagi meningkatkan tahap kesihatan awam.
“Melalui program tersebut capaian akan diperluas ke kawasan pedalaman yang secara amnya kurang mendapat maklumat yang betul dan kurang mengambil langkah pencegahan dalam menangani penyakit. jelasnya pada majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bugaya Abdul Hussin Kiamsin.
-RI